Ahad - Rabu : 8:00 pagi - 5:00 petang, Khamis : 8:00 pagi - 3:30 petang   Facebook

 

[powr-countdown-timer id="j9Yd30"]

Berita Terkini

TAHNIAH KMPP : JUARA KESELURUHAN KAKOM 2024

16 September 2024 - Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) dengan jayanya telah menjadi tuan rumah bagi Karnival Kokurikulum Matrikulasi (KAKOM) 2024, yang berlangsung dengan meriah walaupun terdapat cabaran cuaca hujan. Karnival ini telah berlangsung mulai 12 - 16 September lalu dan disertai oleh 17 kolej matrikulasi dari seluruh Malaysia, menjadikan ia acara yang sangat dinantikan dan mengumpulkan ramai pelajar berbakat dalam pelbagai bidang sukan dan kesenian.

Sebanyak 10 acara telah dipertandingkan, termasuk bola sepak, bola jaring, bola tampar, badminton, petanque, sepak takraw, tenis, skuasy bola keranjang serta tarian rampaian tradisional. Walaupun cuaca hujan, kesemua acara berjaya diselesaikan dengan kerjasama yang erat antara peserta, pengadil, dan pihak penganjur.

Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP) mencipta sejarah dengan memenangi gelaran Johan Keseluruhan buat kali pertama, setelah mempamerkan persembahan luar biasa dalam beberapa acara. Tempat kedua pula dimenangi oleh Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS), manakala Kolej Matrikulasi Labuan (KML) berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dari Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia, seluruh jawatankuasa kerja dan para sukarelawan yang telah menyumbangkan tenaga dan usaha bagi menjayakan karnival ini. Terima kasih juga diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran dan kejayaan karnival ini.

Semoga KAKOM 2025 pada tahun hadapan yang akan berlangsung di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) terus menjadi platform untuk mengasah bakat, meningkatkan semangat kesukanan, serta memperkukuh persahabatan antara kolej matrikulasi di Malaysia.